Blog

Daripada mualaf ke ulama

Dr. Yamin Cheng – Sinar Harian 10 Oktober 2015

http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/daripada-mualaf-ke-ulama-1.438782

SEANDAINYA Muslim Tionghoa Malaysia mempunyai ulama, bagaimanakah rupa ulama ini?

Budaya hidup Cina boleh menjadi konteks untuk melihat wajah ulama Muslim Tionghoa Malaysia yang terbentuk daripadanya.

Ambil pesta tanglung sebagai contoh. Saban tahun Kerajaan Malaysia menganjurkan pesta ini sebagai tanda muhibah negara kita yang berbilang kaum yang turut disertai oleh masyarakat Islam negara ini. Walaupun niatnya murni tetapi ia juga mesti menepati kehendak agama Islam itu sendiri.

Ada ura-ura mengatakan pesta tanglung mempunyai elemen mitos dan legenda yang mengandungi unsur ketuhanan dan kedewaan dan dengan itu pesta tanglung adalah satu upacara yang menyalahi akidah dan syariah Islam.

Seandainya kita menyelidik asal-usul pesta tanglung, tidak terdapat unsur yang dapat dikenal pasti dengan tepat sebagai punca wujudnya pesta tersebut. Yang ada cuma cerita-cerita yang tidak dapat dipastikan kesahihannya. Justeru, apakah mitos dan legenda yang tidak dapat dipastikan mana satu adalah punca di sebalik asal-usul pesta tanglung boleh dijadikan dalil untuk menentukan hukum tentang pesta tersebut?

Profesor Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Al-Halal wa Al-Haram fi Al-Islam ada menjelaskan tentang kaedah menentukan status hukum sesuatu perkara, baik dari segi akidah mahupun syariah, iaitu ‘Tidak dikira haram sesuatu perkara melainkan terdapat nas yang sahih dan sarih (jelas) daripada pembuat hukum (al-Shaari’ iaitu Tuhan) mengenai pengharamannya, dan seandainya tidak terdapat nas yang sahih (seperti setengah hadis daif) atau tiadanya apa yang jelas dalam dalil hukum (al-dalaalah) tentang haram sesuatu perkara, maka hukumnya ialah apa yang termaktub dalam asalnya, iaitu dibolehkan perkara tersebut (ibahah).’

Akidah dan syariah, iman dan amal, pegangan hidup dan perbuatan, saling berkait. Kepercayaan mesti diikuti dengan perbuatan untuk menunjukkan pengiktirafan kepercayaan tersebut. Dalam erti kata lain, mesti terdapat ittisal atau penyambungan terus di antara maudu’ (isi kandungan) dengan amalan pengiktirafan maudu’ tersebut supaya mereka dilihat serasi dan selari di antara satu sama lain. Dengan erti kata lain, pesta tanglung yang dikatakan berlatarbelakangkan cerita mitos dan legenda yang mengandungi unsur ketuhanan dan kedewaan mesti diikuti dengan aktiviti tanglung yang menunjukkan penyembahan tuhan dan dewa atau dewi berkenaan.

Sekiranya kita mengamati bagaimana pesta tanglung di Malaysia diraikan, kita akan dapati tanglung-tanglung itu kebanyakannya dipamer dan diarak oleh anak-anak kecil.
Selain dari itu, tanglung-tanglung itu berbentuk haiwan seperti ikan, rama-rama, arnab dan sebagainya, dan kini pula terdapat tanglung-tanglung yang berbentuk seperti Doraemon, Superman, Mickey Mouse, dan banyak lagi karakter komik kanak-kanak.

Seandainya pesta tanglung itu ada kaitan dengan dewa-dewi, semestinya tanglung-tanglung itu mempunyai ciri-ciri dan wajah yang merupai dewa-dewi berkenaan sebab tanglung-tanglung tersebut mesti membawa mesej pemujaan dan penyembahan dewa-dewi itu. Tidakkah tanglung-tanglung yang berbentuk keanak-anakan dan karakter-karakter komik satu penghinaan kepada suatu upacara keagamaan sekiranya pesta tanglung itu dianggap satu acara melibatkan unsur-unsur keagamaan? Dan apakah kaitan tanglung-tanglung arnab, rama-rama, Doraemon dan Superman dengan dewa-dewi yang dikatakan menjadi sebab wujudnya pesta tanglung?

Selain dari itu, seandainya pesta tanglung mengandungi unsur keagamaan yang bertentangan dengan Islam, tentunya masyarakat Muslim Tionghoa Malaysia akan meninggalkan sambutan ini walaupun ia adalah sebahagian dari kebudayaan kaum mereka, sebagaimana mereka meninggalkan Qing Ming atau Cheng Beng, iaitu hari memperingati moyang di mana terdapat upacara menyembah moyang dengan membersihkan kubur mereka serta disembahkan makanan, minuman dan keperluan asas seperti pakaian, perkakas rumah dan sebagainya yang dibuat dari kertas kepada mereka.

Muslim Tionghoa Malaysia akan terus berhadapan dengan pertanyaan tentang sejauh manakah budaya hidup Cina sejajar dengan ajaran Islam.
Namun setiap pertanyaan yang dihadapi boleh menjadikan mereka lebih kental dari segi mental dan peribadi sehingga dari mualaf yang terpinga-pinga mencari jawapan mereka boleh menjadi ulama yang memberikan jawapan yang bernas dan penuh hujah tentang bagaimanakah budaya hidup Cina mencerminkan kehidupan Islam itu sendiri.

* Penulis bekas pensyarah Usuluddin dan Perbandingan Agama UIAMYamin-Cheng

Post a comment

11 + = 15