Blog

Perutusan Aidilfitri Presiden

Perutusan-presiden-aidilfitri-1436

Perutusan Hari Raya Aidilfitri 1436 Hijrah 2015
Profesor Dr Taufiq Yap Yun Hin, FASc
Presiden
Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA)

AidilFitri : Memupuk Keharmonian dan Meningkatkan Perpaduan Rakyat Malaysia

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.

Bersempena dengan ketibaan 1 Syawal 1436 Hijrah saya bersama seluruh pimpinan MACMA Malaysia mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, 开斋节快乐 kepada seluruh warga MACMA yang dikasihi.
Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran kita rafa’kan kepada Allah SWT kerana memberikan peluang dan kesempatan untuk sama-sama kita menyambut Aidil Fitri atau hari kemenangan bagi umat Islam yang disambut dengan penuh perasaan keimanan, ketakwaan dan kesyukuran yang hakiki.
Dalam tempoh sebulan Ramadhan 1436 H, saya berharap semua ahli MACMA telah berjaya membina dan menjana ketaqwaan serta mencari keredhaan Allah SWT dalam membentuk diri sebagai insan yang sentiasa taat dan patuh kepada segala perintah Allah SWT. Kekuatan dalaman diri yang terbina dalam bulan Ramadhan juga dapat ditransformasikan sebagai kekuatan untuk meniti kehidupan sebelum Ramadhan tahun hadapan.

Justeru saya menyeru agar kita sebagai masyarakat Cina Muslim di seluruh Malaysia agar dapat meningkatkan rasa kesyukuran, memupuk keharmonian dan memperkasakan hubungan persaudaraan bukan sahaja sesama warga MACMA malah dapat berperanan dalam memupuk kehormanian dalam masyarakat majmuk berbilang kaum dan bangsa dengan kepelbagaian budaya dalam negara tercinta kita, Malaysia. Ini merupakan asas kekuatan dan kejayaan bagi membentuk sebuah negara yang makmur serta menutup segala ruang perpecahan. Masyarakat Cina Islam Malaysia boleh menjadi contoh yang baik untuk memperlihatkan kepada seluruh manusia bahawa Islam sebagai bersifat universal yang tanpa batasan bangsa , warna kulit dan bahasa.

Benarlah Firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 13:

“Hai manusia, Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal”

dan Firman Allah dalam surah Ar-Rum ayat 22:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu”

Sememang hakikatnya Allah SWT menggunakan kuasaNya mencipta manusia dengan kepelbagaian yang multikultural. Justeru bersama-samalah kita seluruh rakyat Malaysia mengenali sesama kita agar kita dapat bekerjasama erat dan jauhilah segala pra-sangka buruk yang tidak memberikan sebarang manafaat kepada mana-mana kaum/bangsa di Malaysia. Saranan saya agar kita sentiasa bermaaf-maafan bagi membentuk satu keluarga Malaysia yang lebih ceria, harmoni, bekerjasama dan berlapang dada. Kepada semua warga MACMA, sambutlah Aidil Fitri dalam lingkungan syariah dan ziarah menziarahi bagi memupuk semangat persaudaraan yang sejati, sambutlah dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran.

Akhir kata saya mewakili seluruh pimpinan MACMA mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada seluruh warga MACMA khasnya dan seluruh muslim amnya.

Semoga Allah SWT sentiasa melindungi dan merahmati kita semua. Ameen.

Post a comment

49 − 44 =