Blog

MAJLIS M.O.U. PENERBITAN AL QUR’AN & TERJEMAHAN BAHASA MANDARIN

Shah Alam, Selangor, 10 November 2013 – Dalam merintis usaha pembangunan seni Islam di negara ini, Yayasan Restu hari ini menandatangani MOU dengan MACMA (Persatuan Cina Islam Malaysia) untuk menerbitkan Al-Qur’an Terjemahan Mandarin.


Ini merupakan salah satu langkah mempelbagaikan usaha dakwah menerusi seni Al-Qur’an. Usaha ini lahir daripada hasrat mengembeling tenaga dan kepakaran para ilmuan dan cendiakawan tanahair dan dari negeri Cina dalam menghasilkan warisan pemikiran bersumberkan Al-Qur’an dan menghidupkan kesenian Islam serta menyebarkan agama Islam. 

Sebagai sebuah badan yang mengusahakan usaha penyalinan al-Qur’an, Yayasan Restu masih mengekalkan teknik seni mushaf ini dengan mengaplikasi seni zukhruf daripada motif seni tampak, bunga-bungaan, buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan yang bercirikan budaya Cina Islam di dalam Al-Qur’an terjemahan ini. 

Untuk menghasilkan zukhruf ini pihak R & D dikehendaki menziarahi tempat-tempat bersejarah yang berkaitan dengan kaum Cina Islam di negeri Cina serta Indonesia dan juga Malaysia. Tambahan pula Ummul Mushaf iaitu permulaan mushaf, Nisful Mushaf iaitu bahagian pertengahan yang diambil dari surah Al-Kahfi (ayat 1 – 10) dan Khatmul Mushaf pada surah 113 dan 114 akan melambang kemakmuran budaya warisan kaum Cina. 

Bagi memudahkan pembacaan dan pemahaman, ayat al-Qur’an dan terjemahannya diletakkan secara bersebelahan muka surat pada bukaan yang sama. Terjemahan ini telah diusahakan oleh Yayasan Restu dengan kerjasama MACMA diselia oleh Jawatankuasa Lajnah Terjemahan dan Tafsir al-Qur’an yang terdiri daripada ulama yang pakar dalam bahasa Arab, bahasa Mandarin dan bidang tafsir. 

Majlis menandatangani MOU bagi Al-Qur’an Terjemahan ini telah disempurnakan oleh YB Tim. Menteri Kewangan Datuk Ahmad Mazlan dengan disaksikan oleh Ybhg Dato’ Abdul Latiff Mirasa, Pengerusi Yayasan Restu Malaysia dan YBhg Dato (Dr) Hj Mustapha Ma, Presiden MACMA.

mou7

mou2mou3mou4mou5mou6

Utusan-11Nov2013