Blog

Cina Muslim adalah Cina dan Muslim

Xifu-Naser

JEMAAH Cina Muslim hanya golongan minoriti kecil sahaja di Malaysia. Duduk diam-diam sebagai mualaf. Suara kamu tak mampu ubah apa-apa.”

Inilah suara fobia yang menjangkiti Cina Muslim pra-Youtube. Ramai Cina Muslim yang reda diMelayukan setelah memeluk Islam. Fobianya ialah kalau Cina Muslim enggan diMelayukan, mereka tak akan berjaya dalam hidup mereka.

Mereka tidak akan mendapat bantuan daripada mana-mana pihak. Masyarakat Cina fobia Islam, lalu buang mereka, melabel mereka sebagai pengkhianat bangsa apabila memeluk Islam.

“Mengapa kamu peluk agama yang pasti gagal mendidik kamu menjadi insan pragmatis dan realistik! Moyang kamu datang ke tanah ini sehelai sepinggang. Dan akhirnya berkat falsafah Cina, kita berjaya membina ekonomi dan keluarga yang mantap. Kamu sudah mengkhianati warisan nenek-moyang kamu! Kamu tak akan berjaya dalam hidup!”

Inilah wacana Cina pra-Youtube yang ingin membela warisan mereka.

Masyarakat Melayu pula begitu menjaga ‘mualaf’ sehingga timbul obsesi memastikan Cina Muslim membuktikan “keikhlasan” mereka setelah memeluk Islam.

“Kalau kamu ikhlas memeluk Islam, buang nama Cina. Buang nama ayah. Gantikan dengan ayah yang baharu yang bernama ‘Abdullah’. Mulai hari ini, kamu adalah ‘Bin Abdullah’. Pakai seperti kami. Makan seperti kami. Fikir seperti kami. Kami akan membantu kamu selagi kamu duduk diam-diam sebagai mualaf yang baik.”

Inilah wacana Melayu pra-Youtube yang ingin membela Islam.

Tiba-tiba dunia digegarkan dengan munculnya zaman internet bagaikan tsunami informasi. Tiba-tiba dunia menjadi satu kampung yang besar. Begitu mudah sekali mendapat informasi dari dunia lain. Melalui skrin telefon bimbit sahaja, Cina Muslim melihat Islam sebagaimana yang dipraktikkan di dunia lain di negara Arab, Amerika, Britain, China, Afrika. Komunikasi yang mudah telah menyatukan Cina Muslim seluruh dunia kerana Cina ada di mana-mana di dunia. Cina adalah rakyat global.

Tiba-tiba satu persatu tokoh-tokoh Cina Muslim terbangun dari tidur yang lama, lalu bersuara, “ALLAH SWT telah menjadikan masyarakat multikultural sebagai fitrah alam, tetapi mengapa selama ini wacana tentang agama ALLAH SWT bersifat monokultural? Memang bangsa Arab memeluk Islam dulu sebelum bangsa Parsi tetapi bangsa Parsi tidak menganggap bangsa mereka mualaf pula. Bahkan guru Imam Shafii iaitu Imam Malik adalah berbangsa Parsi! Satu hari Cina Muslim akan melahirkan ulama Melayu pula!”

Kita lihat arus bokia iaitu arus tidak takut berfikir di luar kotak monokultural semakin besar dalam pilihan raya Macma kali ini. Salah satu usul yang dicadangkan oleh Macma Melaka dan mendapat persetujuan sebulat suara kesemua 19 perwakilan dari pelbagai negeri ialah melawan paradigma monokultural iaitu melawan budaya yang mem’bin/binti Abdullah’kan mereka yang baru memeluk Islam.

Bahkan kita lihat semakin ramai Cina bukan Muslim yang menulis tentang Islam. Tulisan-tulisan mereka memberi gambaran bahawa mereka sedang berusaha membaca buku-buku ilmiah tentang Islam atau sekurang-kurangnya semakin kurang fobia untuk mengambil tahu tentang perkembangan Islam. Semakin ramai ekstremis Muslim muncul yang menggunakan nama Islam untuk menindas bangsa lain, semakin masyarakat Cina ingin mengambil tahu apa sebenarnya ajaran Islam bebas adat.

Cina Muslim mula sedar bahawa mereka memainkan peranan yang utama dalam mempelajari ilmu-ilmu tentang Islam sampai peringkat sarjana. Untuk melawan arus ekstremis dan rasis, Cina Muslim berharap dengan kesarjanaan mereka akan dapat menonjolkan Islam sebagai agama multikultural, bukan agama monokultural. Sudah tiba masanya Cina Muslim mengikut jejak langkah bangsa Parsi dari segi keilmuan.

“Xifu, ini anak lelaki saya. Dia fasih bahasa Mandarin dan boleh membaca al-Quran. Bantulah dia sampai dia menjadi seorang ilmuwan Islam,” berkata Alina Ong, seorang ahli majlis tertinggi Macma.

Generasi pertama Cina Muslim pra-Youtube inginkan generasi kedua Cina Muslim menjadi khalifah dari segi ekonomi, akhlak dan ilmu. Bermulalah dengan sifat bokia, iaitu sifat tidak takut berfikir di luar kotak monokultural. Usah fobia berfikir kritis dan jauh ke depan dengan alasan iman lemah.

Cina Muslim bokia, tidak lemah. Ramadan Mubarak!

* Abdul Naser Tun Rahman tokoh pendakwah Perak/AJK Macma

Post a comment

18 − = 16